Nazrina,

Aku selalu membohongi diriku sendiri bahawa aku ingin melupakan dirimu. Namun hakikat sebenar teramat payah dan susah benar untuk kulakukannya. Saban waktu senyummu menjamah fikiran. Saban detik tawamu memecah hayalan lamunan. Saban tika wajah cutemu menerobosi gedung bayanganku.

 

Dulu, akulah insan yang paling bodoh kerana mempermainkan cintamu. Dan dulu, aku juga alpa dan lalai dengan nikmat cinta dari Tuhan. Dulu juga, aku tiada hiraukan rintihanmu saban waktu. Aku tahu, dulu aku mendekatimu bila aku perlukanmu dan aku menjauhimi bila sebaliknya. Itulah aku yang bodoh dulu.

 

Namun hakikatnya kutahu hatimu terluka Naz……yang teramat dalam …sehinggakan tidak mampu kauucapkan kata maaf yang sejujurnya meskipun ehsanmu masih ada. Namun tiadakah lagi sisa-sisa kemaafan sebenar darimu? Tiadakah lagi sisa-sisa cinta buatku?Dan kutahu hatimu sudah tawar dan masin untuk terima apa jua kata-kataku lagi. Seandainya masih ada cinta …

 

Foto-fotomu masih utuh tersimpan di kamar (hatiku). Kenangan-kenangan dulu mudah untuk kuplaybackkan walau duri-durinya menusuk-nusuk. Tiada alat untuk kupadamkan memori di fikiranku ini. Kenangan buat pertama kali kita makan bersama di gerai depan Menara Maybank dengan Zamri juga, pergi ke PD dgn abang Chik dan abang Nid, menunggumu menaiki bas di depan Metrojaya, jalan-jalan di Sukan Komanwel 1998. Itu seawal pertemuan.

 

Andai gambar-gambarku sudah kaubosan untuk ditatap, buangkanlah jauh-jauh dari pandanganmu, namun jangan sekali diberi pada sesiapa. Itulah pintaku.

 

Sepi sungguh tanpa cintamu bagai malam tiada cahaya. Tiap malamku kini suram dan menitiskan sendu. Kalaulah malam-malamku kini dapat kusuluh dengan cahaya cintamu.

 

Dapatkah kau maafkanku dengan seikhlasnya? Yang bererti bukan sekadar maaf yang kupinta namun aku ingin memiliki semula cahaya indah cintamu dulu. Izinkan aku menemani malammu … memetik bintang malam … agar dapat menerangi tirai mimpimu.

 

Kiranya aku  diberi peluang ke penghabisan akhirnya, akan kupastikan cintamu menjadi melodi hidupku. Pengalaman mengajar ku matang dan insaf. Berilah aku kesempatan. Aku juga mengharungi onak ranjau hidup sebelum ini. Kerjayaku hampir musnah selepas cintaku punah. Aku meredah duri-duri hingga terjatuh dan bangun sendiri. Namun aku bangkit dari kegagalan kerjaya dan kini aku mendaki anak-anak tangga.

 

Maafkanlah khilaf jahilku dulu. Ingin kumiliki hatimu semula. Boleh? Aku rindukan saat-saat seperti dulu. Kita makan jagung rebus secawan bersama. Makan di McD. Jalan-jalan cari makan?

 

Andai aku miliki peluang kembali, akan kusuntingmu menjadi milikku. Aku ikhlas ingin menjadikanmu permaisuri hidupku. Bukan seperti dulu, aku hanya membiarkanmu menanti untuk membina keluarga sendiri. Kali ini aku tekad dan impianku bulat untuk kekotakan janji-janjiku. Memang dulu tersilap langkah dengan mengikat hubungan walhal kita belum ada perancangan.Tapi adilkah jika beban kesalahan itu disandarkan pada bahuku seorang?

 

Nazrina,

Dapatkah kau terima aku semula? Takkan leburkah hatimu yang membeku untukku itu? Kalau dulu kaudapat menerima cintaku, kenapa tidak mampu kau terima semula & maafkan aku? Aku masih menyintaimu seperti dulu. Kasihku masih utuh, teguh dan tidak lusuh untukmu.

Bagaimana lagi harus aku yakinkanmu bahawa aku serius untuk menjadikanmu permaisuri hidupku? Segalanya padamu Nazrina…

 

Aku tahu kisahmu dan ‘R’. Dan kaupatut tahu aku tak pernah berniat mengutuk dan memburukkan dia. Cubalah renung kembali siapa yang burukkan siapa. Aku diajar untuk membenci sesuatu sedangkan orang itu sebaliknya. Maka berjayalah dia membuatkan aku tersisih dan terkeluar. Dulu R dengan kawannya ‘S’. Masakan kau dah lupa. Sekali lagi beban kesalahan disandarkan pada bahuku?

 

Naluriku berdetik….saban hari. Entahkan kaurasakan apa yang kurasa. Maka nanti kautahu ertinya sepi seumpama pisau menghiris hati. Juga nanti kautahu ertinya rindu bagaikan tertusuk duri sembilu. Nanti kaujuga kan merasai pedih yang kutanggung.

 

Walau apapun yang kucoretkan, segalanya padamu Nazrina. Hanya kau yang dapat merubah segalanya. Kutahu kau amat menyayangi ‘R’ dan naluriku berdetik yang kau dan dia merancang penghidupan. Dan itu yang ingin kau beritahu aku jika aku datang ke rumah tempoh hari? Tergamakkah engkau menghiris hati orang yang pernah kau sayangi semata-mata kerana ingin membalas dendam dan melebarkan tahap egoistik? Dan kau jadikan dia sebagai agen pemusnah harapanku.

 

Inilah rayuanku…..kembalilah. Kita mampu bina semula hidup lama yang musnah dengan perancangan baru yang rapi dan teliti. Sekali lagi rayuanku…kembalilah. Aku rindukan senyumanmu. Aku rindukan hilai tawamu. Dan yang semestinya…aku teramat rindukanmu.

 

Sesungguhnya aku terluka sendiri bila mengenang nasib ditimpa cinta. Kau menyintainya aku kecewa. Dia yang kaupuja tentu bahagia tapi aku sendiri memendam rasa. Kehampaan ini biar kutanggung sendiri. Aku, engkau dan dirinya telah terjerat dalam gelombang cinta.

 

Dan kau patut tahu yang aku tak pernah suruh si Desi tu merayu bagi pihak diriku. Aku tak nak kau salah faham. Nazrina, seandai masiha da cinta dalam dirimu itu Nazrina, kembalilah…..kembalilah. Aku setia menanti. Aku ingin menjadikanmu sebagai isteriku yang sah. Aku kini lebih bersedia dan bukan seperti dul. Dulu aku jahil. Bukan kubuat syarat tapi sekiranya kau kembali padaku, begitu juga aku.

 

Memang aku ketegar seperti yang kau cakap dulu. Aku ketegar dalam mempertahankan cinta. Aku ketegar ingin memiliki hatimu semula. Tak dapatkah kita bina semula hidup dari pengalaman dan pengajaran silam? Sampai bila egoistik harus merasuk diri?

 

Pahit yang kaurasa dulu, tak dapatkah kau sandarkan pada kenangan?Aku mengerti kepahitan yang kau rasai Naz. Bukannya aku membisu. Memadaikah alasan yang kauberi bahawa bukan kerana dia kau membenciku? Kalau bukan dia, aku tahu kau masih menyayangiku dan janganlah kau juga membohongi dirimu sendiri. Aku tahu kau masih menyayangiku walau secebis.

 

Mungkinkah niat suciku ini takkan disiakan? Ku berharap di suatu masa di suatu hari yang indah bilamana kuhulur tanganku lalu kau terima……….

 

31 Mei 2004 – 12.21 pagi – Shah Alam

Right Arrow: Kembali...…